Ahad, 24 April 2011

PERUTUSAN PUAN HAJAH MUSLIATI MUSLIMIN, KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO NEGERI SABAH UNTUK PERSIDANGAN PUTERI BAHAGIAN SABAH 2011





Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh....dan Salam 1 Malaysia

Syukur Alhamdulillah kita rafakkan ke hadrat ilahi atas limpah rahmat dan kurnianya kita semua berada dalam keadaan baik dan tenang. Selawat dan salam kita panjatkan untuk junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabatnya.

Ucapan syabas dan tahniah diucapkan kerana telah selesai menjalankan persidangan Cawangan bagi tahun 2011 dan Mesyuarat perwakilan Puteri UMNO Bahagian bagi tahun 2011 bagi memenuhi tuntutan Perlembagaan Parti dan saya doakan agar mesyurat tersebut akan berjalan dengan lancar. Gunakanlah kesempatan bermesyuarat ini untuk membincangkan halatuju wanita muda di Sabah agar peranan kita akan lebih terarah dan usaha memperkasa bangsa akan dapat dirasai semua pihak.

Pada penggal kali ini diharapkan semua Puteri UMNO bahagian seluruh Sabah dapat berusaha lebih gigih agar jumlah keahlian Puteri UMNO sabah dan juga Bahagian dapat ditingkatkan. Pergerakan Puteri UMNO Sabah akan mengimplimentasikan Petunjuk Prestasi (KPI) untuk setiap bahagian dengan sasaran penambahan keahlian di bahagian masing-masing sekurang-kurangnya 500 ahli baru. Bukan sahaja menjadi ahli Puteri UMNO tetapi juga mampu mendaftar mereka sebagai Daftar Pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ini penting agar keahlian generasi wanita muda dalam gerakan Parti keramat UMNO dapat memberi impak dan manfaat untuk menentukan kedudukan parti keramat ini agar ianya terus kukuh dan releven.

Keahlian baru ini amat penting bukan kerana parti UMNO memerlukan sokongan daripada golongan muda sahaja tetapi mereka adalah generasi pelapis yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan dan tampuk kerajaan serta mereka juga merupakan pewaris kepada kesinambungan kecermelangan yang dicapai hasil perjuangan UMNO hari ini.

Sesungguhnya Pergerakan Puteri UMNO Sabah tidak akan berjaya tanpa sokongan dan dorongan rakan ahli di peringkat akar umbi. Oleh yang demikian setiap bahagian dan cawangan perlu merancang dan melaksanakan program turun padang bagi mendekatkan diri dengan golongan muda.

Sebagai contoh apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang sentiasa mengadakan kunjungan mesra rakyat menemui orang ramai di segenap pelusuk negara meskipun berdepan dengan kekangan masa. Seharusnya , kita di peringkat bahagian dan cawangan perlu melakukan usaha yang sama .


Aktiviti ‘walk about’ sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri perlu juga kita laksanakan dengan cara dan tindakan yang bersesuaian supaya kita dapat mendekati rakyat peringkat akar umbi sekali gus dapat memahami masalah dan keperluan mereka dengan lebih realistik.

Kita sebagai sebuah gerakan politik dan sayap kepada parti yang memerintah kerajaan Negeri dan kerajaan Pusat tidak boleh dilihat sebagai sebuah pertubuhan eksklusif sebaliknya kita perlu menjadi sebuah parti rakyat seperti mana resmi padi semakin berisi semakin tunduk.

Suatu yang perlu kita sedar dan insaf ialah bukan mudah untuk menarik sokongan daripada seluruh lapisan rakyat. Apa lagi dengan geografi rakyat di negara ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum ,berbeza agama, budaya dan bahasa.

Cabaran cukup tinggi dan rintangannya bukan sedikit. Apatah lagi usaha kita ini sentiasa diganggu-gugat oleh parti-parti pembangkang yang sentiasa berusaha menanam kebencian rakyat kepada kerajaan.

Sebab itu, dalam arus perjuangan kita ini, sesuatu elemen yang maha penting kepada UMNO ialah dalam aspek perpaduan. Perpaduan dan toleransi semua ahli amatlah didamba. Pepatah bersatu teguh bercerai roboh tetap releven sampai bila-bila untuk kita jadikan sebagai pedoman hidup.

Ingatlah Kota Melaka tidak akan roboh jika bala tenteranya tidak berpecah belah semasa berhadapan dengan musuh. Begitu juga dengan UMNO, tidak mungkin akan mampu digoyahkan oleh parti-parti pembangkang jika kita kekal bersatu dalam apa juga keadaan sekali pun.

Sebarang kemelut dan kepincangan dalam kepimpinan baik di peringkat bawahan mahupun diperingkat atasan tidak harus dijadikan bahan jenaka. Kita harus berusaha untuk memupuk keserasian agar hubungan setiakawan dapat dipererat dan diperkukukan.

Rasa hormat,ikhlas,setia,bertanggungjawab dan komitmen tidak hanya ucapan semata-mata tetepi hanya ucapan harus menjadi intipati dalam setiap tindakan kita . Insya-Allah jika ini menjadi pegangan setiap ahli maka konsep. “1 Malaysia Rakyat didahulukan , pencapaian diutamakan” akan dapat kita terjemahkan.

Konsep yang digagaskan oleh Perdana Menteri itu kini semakin sebati dan diterima baik olah rakyat. Sehubungan itu, kita perlu merealisasikan gagasan itu di peringkat yang lebih luas sehingga ke seluruh pelusuk kampung dikawasan masing-masing.

Akhirnya , untuk sesiapa yang berlaku sebelum , semasa dan selepas ini saya merayu rakan ahli-ahli Puteri untuk terus berpimpin tangan, bersatu hati, abaikan sengketa dan terus mara kehadapan .

Mudah-mudahan apa jua cita-cita dan agenda kita demi untuk memperjuangkan parti keramat ini akan mendapat restu daripada Allah S.W.T

Sekian , Salam Perjuangan .....Selamat Bersidang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan