Selasa, 20 Julai 2010
Puteri Singgah Berbakti Di Kota Koboi
SELESAI menjelajah ke timur Sabah, Puteri UMNO Sabah meneruskan misi ‘Jom Masuk Kampung’ ke Pantai Barat Utara, Kampung Kuala Abai, Kota Belud. Diberi jolokan ‘Koboi Town’, daerah ini terletak kira-kira 70 kilometer dari pusat Bandar Kota Kinabalu dan memakan masa perjalanan menggunakan kira-kira sejam. Pemandangan tanah bendang menghijau saat tiba di persimpangan Kota Belud-Kudat, memberi ketenangan buat rombongan kali ini. Kota Belud, berasal daripada bahasa Bajau iaitu majority penduduk di daerah ini iaitu ‘Kota’ yang bermaksud kubu pertahanan manakala ‘belud’ pula bermaksud bukit. Justeru, Kota Belud diertikan sebagai ‘Kubu Pertahanan Di Atas Bukit’. Teringat pula pada hidangan enak Ikan Masin Liking dan Jus limau kasturi yang menyelerakan di Restoran Mayang Sari, yang terletak di atas bukit berhampiran Taman Tun Said. Satu tempat makan yang berlatarbelakangkan pemandangan seluruh Bandar Kota Belud. Rombongan ‘Jom Masuk Kampung’ yang diketuai oleh Puan Hajah Musliati Moslimin, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah diteruskan, bersama Ketua Puteri UMNO Kota Belud, Masnatu Satong, Ketua Puteri UMNO Kota Marudu, Redonah Bahanda serta ahli-ahli Puteri UMNO Kota Belud. Suasana damai menghijau dibalik teratak rumah kampung, udara segar menusuk hidung, jauh dari hiruk pikuk kota, rombongan Puteri singgah bertanya khabar menghilang letih sambil meneruskan misi destinasi ke sebuah kampung. Di sebuah teratak, mungkin kelihatan kediaman mereka terlalu usang untuk didiami oleh sebuah keluarga yang ramai. Namun, itulah syurga mereka sekeluaga. Keluarga Zainah Dung, wanita tabah mempunyai 7 orang dan salah seorang anaknya disahkan Orang Kurang Upaya (Bertutur). Membesarkan anak tanpa suami di sini bukanlah satu tugas yang mudah. Tambah-tambah dalam kedaifan yang ditanggung keluarga ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.Kami terharu melihat ketabahan ibu tunggal ini, melalui saat pahit dan manis bersama anak-anaknya. Destinasi Jom Masuk Kampung diteruskan ke Kampung Lingkodon yang berada dalam DUN Usukan. Menjejak insan yang memerlukan dan menghulur apa yang kurang, memberi apa yang termampu. Dalam pada itu Musliati berkata, usahlah berasa malu memiliki anak sedemikian rupa malah terimalah dengan hati yang terbuka kerana ada hikmah disebaliknya. Malah, beliau menyeru ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak istimewa agar menghantar mereka ke PPDK bagi membolehkan kanak-kanak terlibat mengikuti program asas seperti pembelajaran dan program bantu diri.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan