Ahad, 9 Oktober 2011

KEMUDAHAN KESIHATAN DI SABAH PERLU DINAIK TARAF

 Kota Kinabalu : 10 Okt 2011.  Kemudahan (fasiliti) kesihatan di negeri Sabah masih kurang 10 hingga 15 tahun ke belakang berbanding dengan apa yang ada di Semenanjung Malaysia dan Sabah memerlukan penambahbaikan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman berkata kekurangan itu berdasarkan dari segi fasiliti terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

Beliau berkata kita perlu sedar bahawa masih ramai penduduk luar bandar berpendapatan rendah dan sederhana.

“Golongan ini sering menghadapi masalah kekangan kewangan untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik mahupun hospital swasta. Tambahan pula hospital ataupun klinik kesihatan kerajaan yang sedia ada agak jauh dari lokasi penempatan mereka dan jumlah pesakit pula ramai yang jelas akan melambatkan proses mendapatkan rawatan yang dikehendaki dengan segera

Seperti hospital di Sabah katanya banyak tetapi kurang fasiliti dan begitu juga dengan Klinik Kesihatan dan Klinik Desa masih kurang kemudahan.

“Seperti staf (kakitangan) kalau di Sabah populasi dan nisbah adalah satu doktor bagi 2,000 orang, manakala di Semenanjung satu doktor bagi 900 orang. Kerajaan sedang berusaha untuk memberi keutamaan kepada Sabah untuk membangun fasiliti-fasiliti infrastruktur dan sumber manusia.

“Secara keseluruhannya kemudahan kesihatan di negeri ini masih kurang dan kita sedang berusaha untuk menambahbaikkan dan bercadang akan membina lebih banyak Klinik dan menaik taraf kemudahan fasiliti dari Klinik Desa kepada Kilnik Kesihatan pada Bajet 2012, ” jelasnya.

Beliau berkata demikiaan semasa ditemui sesi Taklimat Gerak Kerja Tranformasi Puteri dan Pelancara Program Projek Puteri Prihtan (3P) peringkat negeri Sabah di Dewan Sri Kinabalu, Kompleks Tabung Haji semalam. Majlis pelancaran di rasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman.

Turut hadir sama Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Perumahan, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar serta 22 ketua-ketua Puteri UMNO bahagian. Bengkel dua hari itu dihadiri ebih kurang 240 ahli-ahli Puteri UMNO dari 25 bahagian di seluruh Sabah.

Menurut Dr. Hassan ada banyak pihak boleh terlibat secara langsung untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat dengan mengadakan program bersama dengan KKM seperti pertubuhan bukan kerajaan, parti-parti politik dan termasuklah persatuan-persatuan.

“KKM amat memerlukan penyertaan sukarelawan dan masyarakat untuk membantu memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Saya yakin Puteri UMNO salah satu ngo dan badan siasah yang sangat aktif membantu masyarakat.

Tambah beliau mereka (Puteri UMNO) dapat mewakili rakyat termasuk dalam golongan ibu dan remaja dan penglibatan mereka secara tidak langsung dapat membantu masyarakat yang tinggal di pinggir-pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman di Sabah.
Melalui Puteri UMNO masyarakat luar bandar memerlukan perkhidmatan kesihatan dapat dibantu dengan berurusan dengan pihak pengurusan klinik atau hospital membawa pegawai perubatan masuk ke kawasan yang agak terpencil untuk di beri rawatan melalui Kem Kesihatan atau Klinik Bergerak.

“Program ini adalah berterusan dan bukan one off dan kita berharap usaha Puteri UMNO dapat membantu masyarakat yang terpinggir dari mendapat perkhidmatan kesihatan.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Sabah, Musliati Moslimin menyeru ahli-ahli Pergerakan Puteri UMNO Sabah diminta menjayakan sepenuhnya program gerak kerja transformasi bagi memastikan ahli-ahli parti sentiasa dekat dan mesra dengan rakyat.

Katanya, program ini bagi menghubung jalin dan mengeratkan hubungan antara Puteri dengan rakyat di peringkat akar umbi itu perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermusim.

Menurut beliau, program seperti Projek Puteri Prihatin (3P) yang merupakan sebuah program kebajikan khidmat masyarakat itu juga sepatutnya dijadikan sebagai platform bagi mendekatkan Puteri dengan golongan muda.

"Kita amat berharap gerak kerja transformasi ini dilaksanakan secara lebih menyeluruh sama ada di peringkat bahagian atau di cawangan-cawangan.

"Program ini amat penting sebagai kesinambungan atau pengukuhan kepada program mesra rakyat yang dilaksanakan oleh Puteri selama ini," katanya.

Jelas beliau, program 3P lebih berbentuk kepada pendekatan kesihatan dan bebajikan seperti melalui program Klinik Bergerak Projek Puteri Prihatin di mana sukarelawan yang terdiri daripada ahli Puteri akan turun padang memberi perkhidmatan kesihatan percuma kepada rakyat.

Musliati berkata, program seperti itu adalah merupakan serampang dua mata kerana selain dapat meninjau sendiri masalah rakyat, ahli Puteri juga dapat mengenal pasti keperluan masyarakat akar umbi.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan