Ahad, 16 Januari 2011

PUTERI SABAH SEDIH DENGAN PENINGKATAN KES BUANG BAYI

Isu Pembuangan bayi semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. pendedahan melalui media yang semakin rancak kebelakangan ini, menunjukkan peratusan kesedaran terhadap kasih sayang bayi yang tidak berdosa semakin berkurangan di kalangan segelintir individu masyarakat, atas desakan ketakutan menanggung permasalahan sosial yang ditanggung oleh mereka. Pergerakan Puteri UMNO Sabah mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan yang lebih serius dalam menangani isu pembuangan bayi .


Musliati Moslimin, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah menyatakan bahawa pergerakan itu kecewa apabila kes pembuangan bayi terus meningkat dalam keadaan banyak pihak memperkatakan mengenai isu berkenaan. Menurut beliau, lima kes pembuangan bayi yang dilaporkan sejak 1 Januari lalu di Sabah sahaja membayangkan betapa masalah tersebut kini pada tahap kronik sehingga memerlukan penggemblengan tenaga daripada semua pihak.

"Kita berasa amat sedih dalam keadaan kita semua bercakap mengenai perkara itu termasuk hebahan dan siaran di media massa kes-kes pembuangan bayi terus berlaku sehingga hampir setiap hari. Sebab itu, kita mendesak pihak bertanggungjawab agar melaksanakan program membasmi masalah ini dengan lebih berkesan dan bukan sekadar dilakukan secara melepaskan batuk di tangga sahaja," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 17hb Jan 2011 (Isnin).







Lima kes membabitkan penemuan buang bayi di Gayang, Tuaran (1), 2 janin di Pusat Comercial Salut, bayi ditemui terapung di laut berhampiran Kampung Sing Kee di Tanah Merah, Sandakan dan janin di halaman Taman Perumahan Che Mei, Lido, Penampang (1). Statistik pihak polis di Sabah mendapati sejak tahun 2005 hingga Mac 2010, polis telah merekodkan sebanyak 75 kes pembuangan bayi di negeri ini. Daripada keseluruhan jumlah tersebut, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 25 kes diikuti Tawau (14 kes) dan Sandakan (sembilan kes).

Masalah itu semakin kritikal dan memerlukan semua pihak memberi sumbangan bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya. Pergerakan Puteri menyeru agar tanggungjawab mencegah pembuangan bayi bukan harus dipikul oleh kerajaan semata-mata tetapi juga masyarakat keseluruhan yang boleh memainkan peranan dengan memantau aktiviti di kawasan masing-masing. Kita tidak boleh jangka bila dan di mana pihak yang tidak bertanggungjawab akan berbuat demikian.

Banyak kesan negatif akan dimanupulasikan jika permasalahan ini gagal ditangani, sekurang-kurangnya dikurangkan semaksima yang mungkin. Pergerakan Puteri Sabah merasa bimbang isu tersebut akan membawa imej negatif kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam jika ianya tidak ditangani segera. Pergerakan Puteri Sabah menyambut baik keputusan kerajaan agar kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes membunuh yang disifatkan sebagai kena pada masanya, menunjukkan bahawa kerajaan amat bimbang dengan isu ini.

Sehubungan itu, Puteri Sabah percaya masalah itu disebabkan oleh banyak faktor termasuk dalam aspek bergaulan sosial yang semakin sukar di sekat di kalangan remaja hari ini. Dengan kemudahan telefon bimbit serta medium Internet seperti chat room, facebook, friendstar, myspace dan sebagainya mungkin antara penyebab pergaulan yang melampaui batas berlaku. Ditambah dengan kurang penumpuan masyarakat terhadap perkembangan remaja masa sekarang serta kurang perhatian keluarga terhadap remaja itu sendiri. Terutama dari segi pendedahan awal pendidikan seks dan agama .

Pergerakan Puteri merasakan bahawa kekuatan jati diri adalah paling utama bagi mengelak daripada terjebak dengan pergaulan bebas sehingga terlanjur kepada seks tanpa ikatan perkahwinan juga menjadi antara menyebab kepada peningkatan kes pembuangan bayi. Apa yang penting hari ini ialah kita tidak boleh menuding jari kepada pihak tertentu sahaja kerana semua pihak perlu bersama-sama bertanggungjawab. Kita tidak mahu isu pembuangan bayi menjadi satu budaya kerana pembuatan itu bukan sahaja amat hina tetapi yang lebih malang melibatkan nyawa bayi yang langsung tidak berdosa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan