Ahad, 8 Mei 2011

GENERASI MUDA DISARAN HARGAI KESENIAN KEBUDAYAAN : KOTA BELUD








30 April 2011

Generasi muda di daerah ini disaran supaya memelihara dan menghargai kesenian kebudayaan serta memastikan kesenian ini tidak dilupakan sepanjang zaman dan membentuk masyarakat agar prihatin terhadap kesenian budaya bangsa.

Ketua Puteri UMNO Kota Belud, Masnatu Satong berkata negara Malaysia khususnya Sabah di Bawah Bayu yang berbilang kaum, agama dan bangsa serta etnik sangat kaya dengan kepelbagaian budayanya. Katanya melalui kepelbagaian ini haruslah diurus dengan baik, dan ianya boleh dijadikan ramuan untuk menyatu padukan rakyat di daerah ini. Tambah beliau seni tari tidak kira milik kaum mana pun di negeri ini, mampu menjadi faktor penyatuan kaum-kaum yang terdapat di Malaysia, sekaligus memperkasakan jatidiri bangsa Malaysia dalam konsep 1 Malaysia.
“Konsep 1Malaysia bukan setakat menyeru rakyat untuk memahami dan menghormati perbezaan itu, tetapi menerima perbezaan yang wujud dan bersama-sama meraih kekuatan daripada perbezaan itu untuk membina bangsa Malaysia yang rakyatnya hidup dengan harmonis, aman dan damai,” ujarnya, Beliau berkata demikian semasa merasmikan Malam Budaya 1 Malaysia anjuran Puteri UMNO cawangan Kg Lingkodon, Kota Belud semalam. Hadir sama Ketua Cawangan UMNO Kg Lingkodon, Mat Haji Abdullah.

Menurut Masnatu, adalah menjadi harapan beliau agar bahawa Malam Budaya ini akan dapat mencungkil dan mengasah bakat peserta dalam bidang kesenian dan kebudayaan, malahan dapat menonjolkan kreativiti pereka tari masing-masing khususnya dalam bidang senitari.

“Secara tidak langsung, penyertaan para peserta dalam pertandingan seperti ini akan dapat membina keyakinan dan sahsiah diri agar dapat membina diri yang lebih kreatif dan berdaya saing.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan hasil usaha ahli-ahli Puteri UMNO cawangan telah berjaya menonjolkan bakat-bakat yang boleh digilap ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Jelas beliau usaha itu berjaya menggerakkan serta meransang aktiviti kesenian kebudayaan di kalangan masyarakat setempat dengan ahli-ahli Puteri UMNO.

Sebanyak enam (6) kategori telah dipertandingankan Tarian 1 Malaysia antaranya kategori kanak-kanak lelaki, kanak-kanak perempuan, dewasa (lelaki dan perempuan), lelaki dan wanita 45 tahun ke atas.

Objektif pertandingan Malam Budaya 1 Malaysia ialah mempertingkatkan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab untuk memelihara dan memperkembangkan budaya serta memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menunjukkan bakat dan kreativiti masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan