Isnin, 14 Februari 2011

KPM DIGESA SELESAI MASALAH BANGUNAN SEKOLAH TIDAK SELAMAT :GHAPUR


By Liza Din
Kota Kinabalu : 15 Feb 2011.Kementerian Pelajaran Malaysia digesa untuk bertindak lebih proaktif untuk menyelesaikan masalah sekolah di kawasan Parlimen Kalabakan yang tidak selamat, daif dan memerlukan pembaikan segera.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh (gambar) meminta pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran negeri mengambil tindakan segera kerana dikhuatiri soal keselamatan para pelajar dan bangunan yang tidak selamat serta daif akan membawa mala petaka kepada pelajar tersebut.

“Insiden beberapa kali berlaku kemalangan di sekolah-sekolah tersebut jangan dipandang remeh oleh pihak yang dipertanggungjawabkan...jangan sampai ada pihak akan mengambil kesempatan dan menunding jari kerajaan Barisan Nasional tidak prihatin terhadap masalah bangunan dan pelajar yang bersekolah di situ, dan ini akan memalukan kerajaan BN sendiri” tegas Ghapur.

Jelas Ghapur kebajikan rakyat adalah menjadi keutamaan kepada kerajaan BN, kerana ini akan menunjukkan KPI wakil-wakil rakyat yang berkhidmat di kawasan itu dapat membantu menangani masalah rakyat termasuklah prasarana untuk rakyat dengan memberi kemudahan seperti sekolah, jalan raya, lektrik, air dan pembangunan modal insan (pendidikan).

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluar di sini ketika mengulas kenyataan Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Dr Muhiddin Yusin yang mengesahkan telah menerima perakuan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa beberapa bangunan di tiga buah sekolah rendah berkenaan tidak selamat.

Dr Muhiddin berkata pada masa ini pihaknya terpaksa menggunakan bangunan sekolah yang dianggap tidak selamat setakat yang boleh bagi membolehkan pelajar sekolah meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Ghapur yang juga Ketua UMNO bahagian Kalabakan berkata, pada tahun lepas (2010) semasa majlis berbuka puasa Zon 6 di Silam, beliau sendiri telah menyerahkan lapuran penuh kepada Timbalan Perdana Menteri. Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran mengenai tiga buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Bahagia, Sekolah Kebangsaan Kukusan dan Sekolah Kebangsaan Jambatan Putih yang membabitkan keselamatan kira-kira 1,000 pelajar sekolah berkenaan.

“Kos anggaran pembaikan untuk tiga buah sekolah tersebut dijangka dalam RM1.5 juta, tetapi sehingga hari ini tidak ada tanda-tanda positif daripada pihak kementerian atau jabatan sendiri menyatakan untuk pembaikan walau lapuran sudah diberikan pada tahun lepas.

“Isu sekolah tidak selamat sudah lama berlaku...kenapa mengambil masa lama untuk pembaikkan...lapuran sudah disampaikan dan saya sendiri juga telah menyatakan kepada Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin) dan Dr. Puad (Timbalan Menteri Pelajaran),” jelas Ghapur.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Pelajaran Pergerakan Pemuda Umno Malays, Mohd Gasing Saling ia meminta Kementerian Pelajaran memberi perhatian serius terhadap masalah beberapa bangunan di tiga buah sekolah rendah di sini yang dilaporkan tidak selamat digunakan.

Beliau berkata masalah yang dihadapi Sekolah Kebangsaan Bahagia, Sekolah Kebangsaan Kukusan dan Sekolah Kebangsaan Jambatan Putih perlu diatasi demi keselamatan kira-kira 1,000 pelajar sekolah berkenaan.

"Kita mahu tahu sama ada sekolah-sekolah ini mempunyai Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) atau tidak. Jika ada, jabatan-jabatan terlibat yang meluluskannya perlu bertanggungjawab," katanya.

Mohd Gasing juga mencadangkan supaya bangunan sekolah yang dikenal pasti mempunyai peratusan tidak selamat diduduki yang tinggi supaya dikosongkan demi keselamatan pelajar dan kakitangan sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan