Jumaat, 11 Februari 2011

PEMIMPIN MASYARAKAT DIGESA PROAKTIF RANGKA PROGRAM : HAMISA




By liza Din



TAWAU : 12 Feb 2011 Semua pemimpin masyarakat di negeri ini perlu bersikap proaktif dalam merangka dan melaksanakan pelbagai program pembangunan di kawasan masing-masing. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, ini kerana kejayaan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan itu bergantung kepada peranan serta keupayaan pemimpin masyarakat.

"Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ketua kampung adalah nadi penggerak kerajaan di peringkat akar umbi. "Kegagalan pemimpin masyarakat memainkan peranan sebagai agen kerajaan akan menyebabkan kawasan mereka akan ketinggalan daripada arus pembangunan," katanya ketika majlis Khenduri Sekampung di Kampung Kuala Merotai, Tawau di sini semalam. Hamisa berkata, pelbagai program pembangunan perlu dilaksanakan secara lebih proaktif bagi memenuhi keperluan semasa yang terus meningkat ekoran pertambahan jumlah penduduk.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab utama pemimpin masyarakat setempat untuk mengenal pasti keperluan penduduk di kawasan mereka bagi memastikan penyelarasan projek-projek pembangunan di situ. Tambahnya, pemimpin masyarakat juga merupakan orang tengah yang berfungsi menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar pembangunan negara khususnya dalam pelbagai pembangunan yang dirancangkan dalam RMK-10. Jelasnya, dalam situasi ini mereka harus memberi perkhidmatan yang cekap dan peka dengan keperluan rakyat.

Sehubungan itu, Hamisa memberitahu wakil rakyat bergantung kepada maklumat ketua kampung dan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK). "Ketua kampung dan JKKK perlu sentiasa mengemaskan kini maklumat tersebut termasuk mengenal pasti mereka yang menerima bantuan daripada pelbagai pihak sehingga memperoleh pendapatan yang terkeluar daripada kadar kemiskinan tegar dan mampu hidup mewah," katanya. Tambahnya menerusi maklumat terkini. bantuan akan sentiasa dapat diagihkan kepada penduduk miskin tegar yang benar-benar layak.

“Semua pemimpin masyarakat peringkat kampung, taman perumahan dan tanah rancangan di Dun Tanjung Batu perlu mengemaskini senarai penduduk yang tergolong dalam miskin tegar di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan