KOTA KINABALU, 25 Jun (Bernama) -- Industri desa merupakan antara industri yang berperanan menjana pertumbuhan ekonomi negara dan mempunyai potensi tinggi untuk dimajukan, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat.Beliau berkata selain menjadi wadah bagi menghasilkan pengeluaran atau kerja tangan oleh masyarakat kampung yang masih menggunakan teknik tradisi tempatan, industri ini juga boleh menjana ekonomi penduduk setempat.
Malah di negara jiran iaitu Indonesia, sisa-sisa buangan digunakan dalam industri kraf dan lain-lain untuk menjadi mata pencarian mereka, katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Hamisa, yang juga pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Parlimen Kalabakan, berkata perkara ini terbukti ketika beliau mengetuai lawatan Kembara Ilmu dengan 28 anggota majlis tersebut ke Jakarta dan Bandung dari 16 hingga 21 Jun.
"Hasil daripada industri ini telah dipamerkan di Pesta Jakarta 2011 anjuran Kementerian Usaha Kecil dan Menengah Republik Indonesia. Semasa di Jakarta, kami turut melawat pameran Satu Industri Satu Produk. "Ini menunjukkan satu petanda yang baik kepada industri-industri berkenaan untuk melangkah lebih maju ke hadapan khususnya dalam meneroka peluang perniagaan import dan eksport," katanya.
Sehubungan itu, Hamisa berkata industri desa sudah tidak boleh dipinggirkan lagi kerana mempunyai potensi yang begitu besar dan penghasilannya juga dapat membantu menjayakan peningkatan ekonomi penduduk dan negara ini. Katanya usaha memajukan industri tempatan sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan kerana terdapat banyak kepentingan kepada individu, pengusaha, masyarakat, dan negara. "Kejayaan industri desa itu sudah tentu dapat membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak-anak kampung itu sendiri, malah dapat membantu menarik lebih ramai pelancong asing datang ke negara kita, sekali gus mereka mahu menyaksikan lebih dekat hasil industri yang popular di kampung-kampung berkenaan," katanya.
Antara kegiatan ekonomi desa kecil-kecilan adalah yang berasaskan makanan laut dan kuih muih, selain aktiviti penternakan, pemprosesan makanan dan aktiviti pengeluaran produk kraf tangan tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan