KOTA KINABALU : 23 Jun 2011. Pergerakan Puteri UMNO Sabah menyifatkan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) sebagai pengkhianat negara kerana mempunyai niat merosakkan ketenteraman awam dan menjejaskan ekonomi rakyat dan negara.
Ketua Puterinya, Musliati Moslimin berkata, pertubuhan itu juga hanya sekadar bertopengkan tuntutan mengenai perjalanan pilihan raya tetapi mempunyai niat dan tujuan yang jauh lebih buruk daripada
itu. Menurut beliau banyak perkara yang tidak logik dengan tujuan perhimpunan haram tersebut selain mengajak rakyat membenci kerajaan secara membabi-buta serta mahu merosakkan imej baik kerajaan Malaysia di mata dunia.
"Kita amat berharap rakyat memahami bahawa jika pilihan raya Malaysia benar-benar tidak bersih mengapa empat negeri tumbang kepada Pakatan Pembangkang pada pilihanraya 2008 yang lalu selain mengekalkan kemenangan di Kelantan. Begitu juga mereka menambah kerusi di Sarawak baru-baru ini.
"Pembangkang tidak akan menang satu kerusi pun di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat jika pilihan raya itu tidak bersih. Ini adalah bukti paling nyata dan paling mudah untuk difikirkan secara rasional oleh rakyat," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.
Puteri UMNO Sabah hari ini telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kota Kinabalu bagi mendesak supaya pihak berkuasa melarang perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.
Turut hadir sama Exco Puteri UMNO Malaysia Dayang Maimunah Sidek (Sipitang) Penolong Setiausaha Puteri UMNO Sabah, Aziah Atoh (Sepanggar), Ketua Penerangan, Nazliah Ali serta Ketua-ketua Puteri UMNO bahagian daripada Kota Belud, Ranau, Papar, Kudat, Kota Marudu dan Silam serta Kota Kinabalu.
Beliau mengulas rancangan Bersih untuk mengadakan perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai ini di ibu negara serta di Sabah dan Sarawak kononnya bagi memastikan pilihan raya dilaksanakan secara adil dan telus.Musliati berkata, jika tidak berpuas hati sekali pun dengan pilihan raya di negara ini, pihak berkenaan masih mempunyai banyak saluran untuk mempertikaikan keputusan pilihan raya sama ada melalui mahkamah atau meja perbincangan dan rundingan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Malah mereka ini mempunyai saluran yang cukup luas hasil tolak ansur dan sikap berlemah lembut kerajaan melalui akhbar rasmi parti mereka yang bebas bersuara selain ceramah-ceramah politik di sana-sini tanpa mengira waktu. "Sebab itu kita amat yakin, keadaan rakyat yang tidak lagi percaya dengan propaganda Pakatan Rakyat menyebabkan ada usaha untuk menimbulkan suasana tidak tenteram oleh penganjur Bersih secara bersiri di negara ini," ujar beliau.
Bergambar selepas membuat laporan di IPD Kota Kinabalu |
Tambah Musliati, banyak isu yang timbul akhir-akhir ini juga menyebabkan ada usaha untuk mengalihkan tumpuan rakyat seperti kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selain isu video seks yang turut dikaitkan dengannya.
Begitu juga dengan kecelaruan para penyokong Pas baru-baru ini apabila Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggugurkan perjuangan menubuhkan negara Islam sebaliknya menukar kepada negara kebajikan semata-mata tunduk kepada desakan parti sekutu iaitu DAP, katanya.
Musliati berkata, Puteri juga yakin, perhimpunan itu bertujuan sebagai provokasi kepada pihak berkuasa supaya pemimpin dan penyokong mereka ditangkap oleh polis kerana menyertai perhimpunan haram sekali gus diharap mampu meraih simpati para penyokong Pakatan Rakyat dan masyarakat antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau meminta seluruh lapisan rakyat agar menentang penganjuran seperti itu yang langsung tidak mendatangkan faedah sebaliknya lebih menyusahkan rakyat lain kerana berlaku kesesakan jalan raya sehingga banyak urusan tidak dapat dilaksanakan serta menyebabkan para peniaga kerugian.
"Pergerakan Puteri Sabah menentang keras usaha itu dan merayu rakyat agar tidak membabitkan
diri dengan kegiatan haram itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan