Isnin, 13 Jun 2011

PUTERI DIMINTA LEBIH AGRESIF DAFTAR PENGUNDI : MUSLIATI


Musliati bersama Naib ketua Puteri Bahagian Putatan berbincang
Putatan : 9 Jun 2011
Pergerakan Puteri UMNO Sabah diminta bekerja dengan lebih agresif mendaftarkan ahli-ahli UMNO
sebagai pengundi bagi memastikan Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh mandat lebih besar pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Musliati Moslimin berkata, angka 66,100 ahli UMNO yang belum mendaftar sebagai pengundi di seluruh negara suatu yang serius dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

"Isu itu perlu ditangani oleh semua lapisan ahli Pergerakan Puteri baik di peringkat negeri, bahagian atau cawangan. Gerakan mendaftar keahlian perlu dilaksanakan dengan lebih agresif agar mereka yang layak mengundi berpeluang menunaikan tanggungjawab mereka.

"Kita memerlukan mandat yang lebih besar daripada para pengundi pada pilihan raya umum akan datang khususnya daripada golongan muda kerana merekalah yang lebih layak untuk menentukan masa depan generasi akan datang," katanya semasa lawatan kerja ke Bilik Gerakan Puteri UMNO Bahagian Putatan di sini semalam.

Turut hadir sama Pengerusi Unit Khas Pilihanraya (UKP) Puteri UMNO Sabah, Aziah Atoh yang juga Penolong Setiausaha Puteri UMNO Sabah, Ketua Puteri UMNO Kota Marudu yang juga Timbalan Pengerusi UKP, Redonah Bahanda, Setiausaha Kerja Puteri UMNO Sabah, Rateni Abdullah, Naib Ketua Puteri UMNO Putatan, Wan Maliza Wan Mohamad, Peolong Setiausaha Puteri UMNO Putatan, Darmawati Mohd Arsyad serta ahli jawatankuasa Puteri UMNO Putatan Dg Azlinawati Ag Damit dan Suzieyana Mohd Sha.

Musliati berkata, gerak kerja secara proaktif perlu dilakukan kerana Pergerakan Puteri tidak boleh sekadar menunggu golongan muda untuk tampil mendaftarkan diri sebaliknya perlu dilaksanakan program seperti kunjungan dari rumah ke rumah atau kempen secara bersepadu di kawasan tumpuan ramai.

Katanya, setiap daftar maklumat mengenai pengundi juga perlu dikemaskini supaya tidak ada pengundi yang tercicir daripada daftar pemilih atau bertukar ke kawasan lain sehingga mengelirukan mereka pada hari mengundi kelak.

"Gunakanlah kemudahan dan kecanggihan teknologi maklumat yang ada bagi merekodkan data atau maklumat pengundi supaya kita dapat mengetahui kedudukan atau status mereka. "Maklumat ini penting kerana tanpa maklumat kita seolah-olah bekerja tanpa pedoman sedangkan kita mempunyai hala tuju dan matlamat yang sangat besar dalam memaju dan membangunkan negara," katanya.

Beliau berkata, adalah merugikan jika golongan muda tidak berpeluang menyertai usaha kerajaan dalam proses membangunkan negara kerana kerajaan memerlukan idea, tenaga dan kerjasama daripada golongan muda bagi memastikan setiap perancangan yang dilaksanakan sampai kepada golongan sasar.

Sehubungan itu juga, beliau meminta golongan muda agar tidak berasa selesa dengan pencapaian negara hari ini kerana masih banyak cabaran yang perlu ditempuh pada masa akan datang khususnya berkaitan ekonomi dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum.

"Mereka perlu tahu bahawa kestabilan ekonomi negara adalah kerana kestabilan politik serta bertitik tolak daripada perpaduan antara kaum di negara ini. Sebab itu, pimpinan kerajaan BN hari ini sentiasa memberi keutamaan kepada isu-isu perpaduan khususnya dalam usaha menyebar luar gagasan 1Malaysia," ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan