Sabtu, 27 Ogos 2011

PUTERI SEMPORNA BANTU 12 KELUARGA KURANG MAMPU


Semporna : 27 Ogos 2011. Program Ziarah Ramadan anjuran Puteri UMNO Bahagian Semporna adalah untuk membantu golongan kurang berkemampuan selain mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan memesongkan akidah mereka khususnya umat Islam.

Ketua Puterinya, Zakiah Kalipunya berkata, program itu diharap mampu membantu golongan tersebut dengan pelbagai cara selain meringankan beban mereka.

"Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk keperluan harian dan duit raya supaya mereka dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana ceria," katanya selepas Program Ziarah Kasih Ramadan dibeberapa buah kampung di Semporna kelmarin.

Sebanyak 12 keluarga terdiri golongan kurang bernasib baik seperti warga emas menerima bantuan daripada sayap Puteri UMNO Semporna itu, dari sekitar Kampung Seloka 4, Kg. Bugaya, Kg. Senallang Laut, Kg. Keramat, Kg. Bubul, Kg. Simunul Ice Box, Kg. Kabogan, Kg. Batu Hilas, Kg. Sri Jaya, Kg. Pababag, Kg. Perigi dan Kampung Bubul Hujung Airport. Sumbangan berbentuk beras, barangan dapur dan duit raya.

Menurut Zakiah yang juga Naib Ketua Puteri UMNO Sabah, menerusi program itu, pihaknya bergerak sendiri ke rumah golongan terbabit bagi mendekati dan menyelami masalah yang dihadapi mereka.

Jelasnya ahli-ahli Puteri UMNO boleh menjadikan Ramadan sebagai bulan muhasabah diri atau menilai semula apa yang dilakukan dalam usaha memperbaiki kelemahan yang ada.

“Ramadan mampu mengajar atau membentuk diri kita untuk meninggalkan perkara-perkara yang dilarang.

Jadi janganlah menjadikan puasa sekadar bulan pesta makan ketika menghampiri waktu berbuka atau pesta membeli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan