Kota Belud : 27 Ogos 2011. Seramai 16 orang anak yatim dari sekitar Pekan Kota Belud dibawa membeli-belah di G-Mart, Kota Belud, di sini untuk membeli persiapan hari raya. Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Belud mengambil inisiatif meraikan anak-anak yatim tersebut.
Ketua Puteri UMNO Kota Belud, Masnatu Satong berkata, menerusi program Shopping Raya Bersama Anak-anak Yatim, pihaknya dapat menjayakan tanggungjawab sosial membantu meringankan beban anak-anak kurang bernasib baik.
''Kami mahu anak-anak yatim ini menyambut hari raya dalam suasana gembira walaupun tanpa kehadiran ibu bapa di sisi," katanya semasa membeli belah pakaian raya anak-anak yatim.
Masnatu dan ahli-ahli Puteri UMNO Kota Belud turut meluangkan masa membantu anak-anak yatim berusia antara lapan hingga 14 tahun itu memilih persalinan hari raya.
Selain baju raya anak-anak yatim tersebut juga menerima sumbangan duit raya sumbangan daripada Pusat Zakat Sabah.
Menurut Masnatu, program diadakan lebih awal supaya golongan berkenaan lebih bersedia dan bergembira menjalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Kita mahu melihat mereka yang kurang bernasib baik tidak ketinggalan menyambut hari mulia ini. Saya berharap sumbangan itu dapat menceriakan mereka dengan memilih sendiri pakaian kegemaran masing-masing," katanya yang turut meluangkan masa membantu anak-anak yatim itu memilih baju raya mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan