Rabu, 17 Ogos 2011

SYARIKAT KORPORAT HARUS AKTIF BERI BANTUAN: ROSNAH

Kota Kinabalu : 15 Ogos 2011. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shilrin mahu syarikat swasta melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam membantu meringankan bebanan yang dihadapi masyarakat kurang bernasib baik. Beliau berkata, bantuan yang diberikan oleh syarikat korporat dan badan bukan kerajaan itu bukan saja mampu mengurangkan penderitaan golongan kurang berkemampuan, malah turut meringankan bebanan kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk tujuan itu.

"Apabila ekonomi negara baik, perniagaan akan berkembang dan ahli perniagaan patut menyumbang semula untuk kebajikan orang ramai. "Dalam hal ini, usaha pihak TPPT Sdn Bhd meraikan anak-anak yatim dan kurang kemampuan adalah satu contoh CSR yang amat baik untuk diteladani.

"Amal jariah seperti ini amat dituntut agama," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada 45 anak-anak yatim dan anak-anak kurang berkemampuan di Beverly Hotel Kota Kinabalu, di sini semalam. Hadir sama, Pengurus TPPT Sdn Bhd, Abdul Azis Salleh, Ketua Puteri UMNO Sabah, Musliati Moslimin serta penerima sumbangan dan kakitangan TPPT Sdn Bhd.

Jelas Rosnah yang juga Ketua Puteri UMNO Malaysia berkata badan-badan swasta digesa supaya lebih kerap menghulurkan sumbangan kepada golongan yang kurang upaya sepanjang Ramadan ini.
"Golongan fakir miskin serta mereka yang kurang upaya amat memerlukan penglibatan daripada badan-badan swasta untuk mereka bersiap menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Menurut beliau, penglibatan lebih banyak pihak swasta akan meringankan beban golongan kurang berkemampuan itu, khususnya mereka yang mengalami kehidupan yang sukar.

"Saya menyeru pihak swasta agar lebih ramai yang tampil menghulurkan bantuan kepada golongan fakir miskin kerana mereka amat memerlukan bantuan itu. "Pada masa yang sama, amalan membayar zakat perlu diberi perhatian supaya golongan yang memerlukan bantuan itu dapat menerimanya dengan sempurna," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan